header plain mobile2

  • Laman Utama
  • Kenyataan Media
  • KENYATAAN MEDIA YAB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI TIMBALAN PERDANA MENTERI MESYUARAT HIGH LEVEL COMMITTEE (HLC) MENGENAI KESELAMATAN DAN KAWALAN SEMPADAN NEGARA BIL.2/2017

KENYATAAN MEDIA YAB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI TIMBALAN PERDANA MENTERI MESYUARAT HIGH LEVEL COMMITTEE (HLC) MENGENAI KESELAMATAN DAN KAWALAN SEMPADAN NEGARA BIL.2/2017

KENYATAAN MEDIA

YAB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI TIMBALAN PERDANA MENTERI

MESYUARAT HIGH LEVEL COMMITTEE (HLC) MENGENAI KESELAMATAN DAN KAWALAN SEMPADAN NEGARA BIL.2/2017

 

1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Kedua High Level Committee (HLC) mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara bertempat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah. Mesyuarat telah dihadiri oleh YAB Menteri Besar Kedah, YB Menteri-menteri Kabinet, YB Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua-ketua Jabatan/Agensi yang berkaitan.

 

2. Mesyuarat merupakan kesinambungan kepada tiga siri Mesyuarat HLC yang telah diadakan sebelum ini iaitu pada 30 Mac 2017, 26 Julai 2017 dan 3 September 2017 berkaitan dengan hal ehwal keselamatan sempadan Negara. Sebanyak 6 Kertas Pembentangan telah dibincangkan iaitu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

 

3. Kekerapan penganjuran Mesyuarat HLC ini menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa komited dan serius untuk terus mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi meningkatkan tahap keselamatan di sempadan negara. Ini dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan strategik termasuk penyelarasan pengurusan sempadan yang diperkemaskan, pewujudan perundangan yang khusus, peningkatan keupayaan agensi penguatkuasa melalui pertambahan perjawatan dan pusingan kerja serta penyediaan fasiliti yang lebih baik. Keseluruhannya, keselamatan sempadan negara adalah memuaskan pada masa ini dengan segala strategi yang telah Kerajaan laksanakan. Namun begitu, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

 

4. Pengumuman Bajet 2018 oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Oktober 2017 yang lalu turut memberikan fokus kepada pembangunan di sempadan negara. Antaranya seperti membangunkan Bukit Kayu Hitam sebagai “Zon Ekonomi Sempadan Khas” yang menjadi bandar bebas cukai dan dijangka dapat menarik lebih 30,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 5 tahun mendatang. Tol Bukit Kayu Hitam dengan kadar sehala sebanyak RM3.60 juga akan dimansuhkan bermula 1 Januari 2018. Ini dijangka akan dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan sempadan kerana laluan tersebut sering digunakan sebagai laluan masuk dari negara Thailand.

 

5. Dalam perkembangan berkaitan, Kompleks Kenderaan Berat (KKB) baharu yang telah mula beroperasi pada 3 September 2017, juga telah berjaya menyelesaikan isu kesesakan terutamanya yang melibatkan kenderaan-kenderaan berat. Pencapaian ini dapat dilihat apabila tiada lagi barisan kenderaan yang beratur panjang di antara Kompleks ICQS ini dengan pintu masuk di sebelah Thailand terutamanya berhadapan Kompleks Bebas Cukai. 6. Keseluruhan Kompleks ICQS baharu ini merupakan kawasan keselamatan yang diwartakan sebagai Kawasan Larangan dan Tempat Larangan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. Bagi memastikan keperluan keselamatan dipenuhi, kompleks ini dilengkapi dengan pagar keselamatan jenis anti-climb di keseluruhan kawasan kompleks dan dibantu dengan 237 unit CCTV (HD) yang akan dipantau dari Command and Control Center (CCC). Bagi memantapkan lagi mekanisme pencegahan penyeludupan, mesin pengimbas (scanner) kargo juga telah dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan yang lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini. 

ICQS, Bt Kayu Hitam

2 November 2017

 

Lampiran

 

PEMBANGUNAN KOMPLEKS IMIGRESEN, KASTAM, KUARANTIN DAN KESELAMATAN (ICQS) BUKIT KAYU HITAM, KEDAH

 

1. Kompleks Kenderaan Berat (KKB) baharu yang telah mula beroperasi pada 3 September 2017, telah berjaya menyelesaikan isu kesesakan terutamanya melibatkan kenderaan berat. Pencapaian ini adalah signifikan apabila tiada lagi barisan kenderaan yang beratur panjang di antara Kompleks ICQS ini dengan pintu masuk di sebelah Thailand, terutamanya berhadapan Kompleks Bebas Cukai.

 

2. Baki bagi Fasa 1 projek ini yang meliputi Kompleks Kenderaan Ringan (KKR), Pejabat Operasi dan Pentadbiran serta kemudahan lain juga telah mula beroperasi pada 1hb November 2017. Kompleks Kenderaan Ringan (KKR) ini dilengkapi dengan 10 lorong pemeriksaan kereta, dua lorong pemeriksaan motosikal serta tiga lorong pemeriksaan bas yang dilengkapi 10 lorong pemeriksaan penumpang (8 manual & 2 autogate). Buat masa ini, semua kemudahan yang disediakan di Fasa 1 ini akan berkongsi bagi urusan masuk ke Malaysia dari Thailand dan keluar dari Malaysia ke Thailand sehingga akhir 2018.

 

3. Kompleks ICQS lama tersebut akan dirobohkan bagi menyediakan tapak kepada pembangunan Fasa 2 yang mempunyai kemudahan bangunan dan jumlah lorong pemeriksaan yang sama dengan Fasa 1. Apabila Fasa 2 ini siap pada 31hb Disember 2018, ia akan digunakan bagi urusan semua jenis kenderaan yang keluar dari Malaysia ke Thailand. Manakala kemudahan yang disediakan dalam Fasa 1 akan digunakan sepenuhnya bagi urusan masuk ke Malaysia dari Thailand. Justeru, urusan keluar masuk kenderaan akan lebih teratur, lancar dan selesa melalui penyediaan lorong-lorong pemeriksaan kenderaan dengan jumlah kira-kira 3 kali ganda daripada sebelum ini.