header plain mobile2

My Pride jadi contoh penjara luar

Program jahitan dan fesyen ditawarkan kepada banduan yang berminat. 7 PROGRAM jahitan dan fesyen ditawarkan kepada banduan yang berminat. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASSAN Nursyamimi Saidi 02 Mac 2018 4:00 PM 28

 

Sejak 2008, jenama My Pride iaitu singkatan kepada My Prison Department, diperkenal kepada umum sebagai sebuah jenama yang menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatan oleh banduan-banduan di seluruh Malaysia.

 

Menariknya, produk atau perkhidmatan ini dipasarkan secara komersial dalam pasaran tempatan.

 

Produk yang dihasilkan dan dilabelkan bawah jenama ini juga mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan, sejajar dengan matlamat Jabatan Penjara untuk memberi kepuasan kepada pelanggan.

 

Setiap produk yang dihasilkan mampu berdaya saing untuk dipasarkan secara meluas seiring dengan peningkatan kemahiran banduan yang dilatih oleh tenaga pengajar yang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing.

 

Antara produk yang dihasilkan adalah makanan kering dan sejuk beku, batik, fabrik tenunan, perabot, pastri, produk kraf, sos dan kicap, serta perkhidmatan seperti dobi, jahitan, salun rambut dan sebagainya.

 

Meskipun sudah 10 tahun berada di pasaran, malangnya jenama ini masih dibelenggu dengan persepsi negatif masyarakat menyebabkan My Pride sukar dikenali ramai.

 

Ini diakui Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan (Seksyen Vokasional dan Industri), Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Datuk Sakeri Dollah, yang melihat persepsi negatif masyarakat mengatakan produk yang dihasilkan banduan kotor dan tidak selamat untuk dimakan sebagai dorongan untuk pihaknya berusaha lebih gigih meletakkan jenama tersebut pada tahap lebih tinggi.

 

Ini bagi membolehkan produk dan perkhidmatan My Pride diterima oleh orang ramai tanpa sebarang keraguan.

 

“Kami atasi tohmahan-tohmahan tersebut dengan memenuhi piawaian penghasilan makanan dan kesihatan seperti persijilan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sijil Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri dan mempunyai bengkel berstatus Amalan Pengilangan Baik (GMP).

 

“Malah setiap banduan juga diberikan suntikan typhoid yang wajib diambil oleh pengendali makanan. Pendek kata setiap prosedur operasi standard (SOP) dipenuhi bagi meyakinkan pelanggan terhadap jenama ini.

 

“Dengan mengikut SOP berkenan, produk-produk My Pride sebenarnya layak untuk dieksport ke luar negara. Namun, memandangkan pengeluarannya berskala kecil kerana lebih bersifat program kemahiran yang diberikan kepada banduan, kami hanya mampu memasarkannya di pasaran tempatan,” ujarnya ketika ditemui semasa lawatan ke bengkel Penjara Wanita Kajang bersama media di Penjara Kajang, Selangor baru-baru ini.

 

Menurut Sakeri lagi, pihaknya juga turut mempamerkan produk-produk My Pride pada mesyuarat kumpulan di Pejabat Bagi Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) di Vienna baru-baru ini, sebagai perkongsian maklumat mengenai penjara Malaysia.

 

Katanya, dengan menunjukkan contoh hasil latihan dan persediaan banduan di penjara ternyata berjaya membuka mata UNODC bahawa adanya jenama yang mampu bertapak dengan kukuh, meskipun dihasilkan di penjara.

 

Lebih menarik, pertubuhan itu berminat untuk mengetengahkan idea daripada Jabatan Penjara Malaysia untuk digunakan oleh penjara-penjara lain.

 

Pertubuhan itu juga merancang untuk mempelajari bagaimana pihak My Pride mampu membawa hasil daripada program latihan kemahiran menjadi sebuah jenama yang mampu dikomersialkan, bagi dibangunkan oleh penjara-penjara di seluruh dunia sebagai latihan kepada banduan.

 

Pengiktirafan UNODC itu secara tidak langsung dapat mengubah tanggapan bahawa kehidupan di sebalik jeriji besi, yang disifatkan sebagai balasan untuk kejahatan yang telah dilakukan, sebenarnya adalah tempoh proses pemulihan kepada banduan-banduan ke arah yang lebih baik.

 

Mereka bukan sekadar melalui hukuman, malah dibekalkan dengan ilmu kemahiran diri. Ini supaya apabila dibebaskan kelak, dapat berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri.

 

SUMBER 

UTUSAN MALAYSIA 

http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/my-pride-jadi-contoh-penjara-luar-1.619423